Tuesday, May 28, 2013

MENELUSURI PERJALANAN KEHIDUPAN TOKOH KARYA AGUNG UNGGUL: RAJA ALI HAJI

Disediakan oleh :NURNADIA BINTI SHARUDIN

ABSTRAK
Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh karya agung yang berasal daripada keluarga bangsawan di Riau.Beliau telah dilahirkan sekitar tahun 1808 dan telah dipelihara oleh bapa beilau yang berketurunan Arab dan ibu yang berketurunan India Muslim.Sejak kecil, beliau telah diberikan pendidikan yang terbaik oleh ibu bapa beliau yang merupakan individu yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.Setelah meningkat dewasa, beliau telah menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang pengemberaan beliau bersama Raja Ahmad dengan mengarang serta menjadi guru kepada mereka yang memerlukan.Beliau telah mengarang pelbagai kitab serta syair yang sarat dengan maklumat, nasihat serta pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat terutamanya masyarakat Melayu.Ada antara syair beliau yang telah dijadikan sebagai teks rujukan di sekolah.Hal ini demikian kerana, kandungan syair tersebut yang memiliki banyak unsur nasihat.  Beliau juga memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang lain selain daripada bidang keagamaan.  Beliau sangat menguasai bidang bahasa, sejarah dan ketatanegaraan.
1.0              Pengenalan
Raja Ali Haji merupakan seorang ulama, ahli sejarah serta tokoh yang terkenal dalam arena bahasa.  Nama sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan beliau dilahirkan pada tahun 1808 Masihi di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat yang merupakan kawasan  pentadbiran keluarga beliau sendiri.  Menurut sejarah daripada masyarakat yang mendiami kawasan pulau tersebut, pulau ini merupakan kawasan di mana banyak karya sastera dan kebudayaan Melayu telah terhasil oleh tokoh Melayu yang telah wujud sepanjang abad ke-19 sehingga abad ke-20.Tokoh tersebut termasuklah Raja Ahmad iaitu bapa Raja Ali Haji.Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1873 Masihi di tempat lahir beliau sendiri iaitu di Pulau Penyengat dan disemadikan di kompleks makam ibunya iaitu Engku Putri Raja Hamidah.Di sepanjang dinding bangunan makam beliau telah diabadikan karya beliau iaitu Gurindam Dua belas yang mana berupaya mengingatkan pengunjung yang melawat makam tersebut kepada beliau yang merupakan penulis yang hebat.
Minat beliau dalam bidang penulisan ini diwarisi oleh ayahanda beliau iaitu Raja Ahmad.Raja Ahmad merupakan anak sulung kepada Raja Haji.Beliau sangat meminati bidang sejarah dan pernah menghasilkan sebuah karya berbentuk syair iaitu Syair Perang Johor yang menceritakan berkenan peperangan yang berlaku antara Kesultanan Johor dan Kesultanan Acheh pada abad ke-17.Selain itu, bapa Raja Ali Haji juga pernah menyusun sebuah puisi berkenaan sejarah orang Bugis dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.Bakat dan minat menulis serta mengarang dalam diri Raja Ahmad ini telah diwarisi oleh Raja Ali Haji.Hal ini demikian kerana sejak masih remaja, beliau telah mengikut ayahandanya menyertai ekspedisi dan menerokai segenap wilayah yang banyak memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan sehingga beliau menjadi penulis yang hebat.
            Raja Ali Haji memiliki pengetahuan yang sangat luas dalam bidang agama Islam serta ilmu mentadbir.Hal ini demikian kerana beliau rajin mempelajari ilmu agama daripada ulama tempatan dan luar negeri.Memiliki ilmu pengetahuan yang banyak dalam bidang agama menjadikan beliau sebagai seorang guru agama dan bahasa Arab di kawasan petempatan beliau.Ramai anak muda tempatan mempelajari berkenaan ilmu agama dan bahasa Arab daripada beliau.  Beliau memiliki ilmu pentadbiran kerana sejak usia 20 tahun, beliau sudah diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal kenegaraan.  Selain daripada kedua-dua ilmu tersebut, beliau juga memiliki ilmu dalam pelbagai bidang lain seperti bidang bahasa, sastera, sejarah serta undang-undang.         
2.0       Latar Belakang Keluarga
Keluarga Raja Ali Haji merupakan sebuah keluarga yang berpengaruh di Riau.Hal ini demikian kerana mereka merupakan keturunan kerabat diraja Riau. Datuk Raja Ali Haji iaitu Raja Haji Fisabilillah merupakan Yang Dipertuan Muda (YDM) Riau yang keempat dan diberi mandate menyandang jawatan YDM kerana usaha beliau menjadikan Kesultanan Riau-Lingga sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting di Riau.  Selain itu, beliau dipilih menjadi YDM kerana beliau merupakan seorang yang terkenal dengan sifat keberanian kerana melawan penjajah Belanda.  Sekitar tahun 1756 M-1758 M, datuk Raja Ali Haji bersama sepupu beliau iaitu Daeng Kemboja menjadi pemimpin pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak untuk melawan pihak Belanda dalam Perang Linggi.  Akhirnya, Raja Haji terbunuh dalam peperangan melawan Belanda yang dipimpin oleh Jacob Pieter van Braam di Melaka pada 18 Jun 1784 M.
            Bapa Raja Ali Haji iaitu Raja Ahmad dilahirkan pada sekitar tahun 1773 M dan merupakan orang yang terawal dalam kumpulan anak raja Bugis yang menunaikan fardhu haji.  Beliau telah menghasilkan banyak karya sastera dan salah satunya ialah Taufat al-Nafis yang bermaksud Bingkisan Berharga yang menceritakan sejarah Melayu.Tuhfat al-Nafis ini ditulis oleh Raja Ahmad dan disambung pula penulisannya oleh anaknya, Raja Ali Haji.Selain itu, beliau juga mengarang Syair Ungku Puteri (1835), Syair Raksi (1841) dan Syair Perang Johor (1843).Beliau banyak menulis karya berkenaan sejarah kerana beliau dikenali sebagai pemerhati sejarah lampau.Syair Perang Johor yang ditulis oleh beliau mengandungi fakta perang Kesultanan Johor dan Kesultanan Aceh pada zaman kegemilangan Johor.
            Keluarga Raja Ali Haji ini merupakan keluarga yang berjaya melahirkan ramai individu yang terpelajar dan cenderung melibatkan diri dalam dunia penulisan. Ahli keluarga mereka yang pernah melibatkan diri dalam bidang penulisan ialah Raja Ahmad, Raja Haji Daud, Raja Salehah, Raja Abdul Mutalib, Raja Kalsum, Raja Safiah, Raja Sulaiman, Raja Hasan, Hitam Khalid, Aisyah Sulaiman, Raja Ahmad Tabib, Raja Haji Umar dan Abu Muhammad Adnan. Raja Ali Haji ini merupakan ulama yang berketurunan Bugis yang mana neneknya iaitu Opu Daeng Cellak merupakan orang asal Bugis tetapi kemudiannya menetap di Riau seterusnya menyandang jawatan sebagai pembantu sultan dalam hal ehwal pemerintahan negara.
            Raja Ali Haji memiliki lebih daripada seorang isteri.  Isteri pertama beliau bernama Sulung dan isteri kedua beliau pula bernama Raja Halimah dan memiliki seorang anak perempuan iaitu Raja Kalthum yang merupakan pengarang Syair Saudagar Bodoh dan seorang anak lelaki iaitu Raja Hasan yang merupakan pengarang Syair Burung. Selain itu, Raja Ali Haji juga telah berkahwin dengan Daing Cahaya dan dikurniakan beberapa orang cahaya mata.
3.0       Pendidikan Raja Ali Haji
Sejak kecil lagi Raja Ali Haji telah dididik untuk menuntut ilmu kerana keluarga beliau memang sebuah keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan.Oleh hal yang demikian, beliau terus menuntut ilmu dalam pelbagai bidang seperti sejarah, kesusasteraan Melayu, keagamaan dan bahasa.  Setelah berpuluh tahun menuntut ilmu dan merasakan ilmu tersebut wajar dikongsi bersama orang lain, akhirnya beliau menjadi seorang guru dan penulis dalam bidang yang pernah dipelajari.
3.1       Raja Ali Haji menuntut ilmu
Raja Ali Haji telah dibawa untuk menuntut ilmu oleh bapanya sejak kecil lagi.  Ketika Raja Haji Ahmad menjadi utusan kerajaan Riau ke Betawi untuk berjumpa dengan Gabenor Baron Van der Capellen, beliau membawa Raja Ali Haji bersama untuk memberikan peluang kepada anaknya untuk mendalami ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama Islam.  Hal ini demikian kerana, ketika beliau menjadi utusan, beliau telah menemui ramai ulama yang terkenal dalam bidang ilmu agama Islam seperti Saiyid Abdur Rahman al-Mashari.Ketika menemui ulama ini, Raja Ali Haji telah berkesempatan untuk mempelajari ilmu falak.
            Selain ke Betawi, Raja Ali Haji juga telah mengikut bapanya ke Mekah.Berdasarkan sejarah, Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji merupakan keturunan Raja Riau yang terawal menunaikan ibadah haji iaitu kira-kira tahun 1243 Hijrah.Mereka tinggal di Tanah Suci Mekah dalam jangka masa yang agak lama.  Ketika mereka menetap di sana, Raja Ali Haji berpeluang untuk menuntut ilmu keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang pada ketika itu merupakan Ketua Syeikh Haji yang sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat setempat.  Dalam perjalanan pulang ke Riau dari Mekah, mereka berkesempatan untuk singgah di Kaherah untuk menimba serba sedikit ilmu di sana.
            Selain daripada ilmu keagamaan yang mencakupi ilmu fardhu ain, fiqh ilmu falak dan bahasa Arab, Raja Ali Haji berminat untuk mempelajari hal-hal kebudayaan.Beliau mula menggemari bidang kebudayaan hasil daripada ilmu pengetahuan yang diperoleh hasil daripada persahabatan beliau dengan beberapa orang sarjana kebudayaan dari Belanda seperti Van Der Waal dan T. Roode. Beliau bukan sahaja cenderung dalam budang keagamaan dan kebudayaan, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang lain seperti bidang bahasa, sastera, sejarah, pentadbiran dan undang-undang.  Kehebatan dan usaha tanpa jemu beliau menuntut ilmu dalam pelbagai bidang menjadikan beliau seorang ulama dan tokoh yang hebat juga dalam pelbagai bidang ilmu.Berdasarkan ilmu yang diperoleh, beliau telah berjaya menjadi pendidik dan menghasilkan pelbagai karya hebat yang boleh dijadikan panduan dan rujukan masyarakat terdahulu hingga kini.
3.2       Raja Ali Haji sebagai guru
Raja Ali Haji sememangnya sudah terkenal dengan kebijaksanaan dan kepimpinan beliau sejak beliau masih muda lagi.  Dalam usia yang masih muda, beliau  telah menjadi seorang guru agama yang terkenal.  Ketika Raja Ali bin Raja Jaafar diangkat sebagai Yamtuan Muda Kerajaan Riau VII iaitu pada tahun 1845 hingga tahun 1857, Raja Ali Haji telah dilantik menjadi penasihat keagamaan negara dan diminta untuk mengajar agama Islam.  Raja Ali bin Raja Jaafar yang ketika itu telah menggantikan Raja Abdul Rahman bin Raja Haji juga turut mempelajari ilmu agama dengan Raja Ali Haji. Beliau memiliki pengetahuan yang sangat luas dalam bidang keagamaan kerana beliau telah menuntut ilmu keagamaan daripada ulama terkemuka seperti Saiyid Abdur Rahman al-Mashari yang ditemuinya ketika beliau mengembara sambil menuntut ilmu bersama bapanya.
            Setelah agak lama berkecimpung dalam bidang pendidikan keagamaan, Raja Ali Haji menceburkan diri dalam bidang pendidikan yang terdiri daripada bidang Sejarah dan bahasa.  Ketika itu, beliau telah menjadi pendidik dalam bidang Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan pelbagai bidang ilmu yang lain.  Ramai penduduk tempatan terutamanya anak muda dan ulama yang datang berdagang ke tempat beliau mengambil kesempatan untuk mempelajari ilmu agama serta ilmu lain daripada beliau.  Selain itu, kebolehan beliau menguasai beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Hindustan, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris telah menarik minat sekumpulan askar Inggeris yang berbangsa India untuk belajar bahasa Inggeris agar mereka mudah untuk berinteraksi dengan askar yang orang putih. 
3.3       Bakat kepengarangan Raja Ali Haji
Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh karya agung yang telah banyak menerbitkan karya sendiri sama ada buku tatabahasa, kamus serta syair.  Beliau dianggap sebagai seorang pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air.Setelah diangkat sebagai pujangga yang telah terkenal dalam dunia kesusasteraan Melayu, beliau memiliki impian untuk memperbaiki bangsa dan berharap agar bangsa Melayu maju di dunia dan akhirat serta hidup dalam kemuafakatan serta berlandaskan hukum syariat.Impian beliau ini banyak diluahkan melalui karyanya yang mana dapat dilihat bahawa kebanyakan karya beliau adalah berkisarkan kepada ketatanegaraan dan keagamaan.Unsur keagamaan ini jelas dapat dilihat melalui syair-syair beliau.
            Selain Raja Ali Haji, ramai juga ahli keluarga beliau yang terlibat dalam bidang syair.  Antaranya ialah bapanya iaitu Raja Ahmad yang mengarang Syair Ungku Puteri, Raja Hasan dan Raja Sufiah iaitu anak beliau yang mengarang Syair Burung dan Syair Kumbang Mengindera, manakala kakak kepada Raja Hasan dan Raja Sufiah iaitu Raja Kalthum telah menulis Syair Saudagar Bodoh.Ada antara cucu Raja Ali Haji yang menjadi pengarang serta penulis syair yang terkenal dalam arena kesusasteraan Melayu.  Antara syair yang ditulis oleh Raja Ali Haji ialah  Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk.  Semua syair hasil tulisan beliau ini adalah berdasarkan kepada kehidupan sebenar masyarakat sekeliling.  Hal ini demikian kerana beliau dianggap sebagai Bapa Permodenan Melayu kerana beliau menulis sesuatu berdasarkan kisah benar dan tidak pernah menulis cerita-cerita mitos seperti pengarang lain sebelumnya.
            Selain aktif mengarang syair, beliau juga menceburkan diri dalam bidang lain dengan lebih meluas.  Atas cadangan saudaranya sendiri iaitu Raja Ali yang merupakan Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII, beliau telah berjaya menghasilkan beberapa karya yang berkisarkan nahu bahasa Melayu iaitu Kitab Bustanul Katibin Lisubyanil-Muta’alimin yang membawa maksud Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia.  Karya ini telah dihasilkan pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857 dan ia telah dicap dengan cap batu di Penyengat.  Beliau turut mengarang kamus yang diberi nama Kitab Pengetahuan Bahasa  yang telah mula disusun sejak tahun 1858 dan memiliki 465 muka surat.
            Seperti yang kita sedia tahu, Raja Ali Haji ialah individu yang berketurunan Bugis dan beliau juga memiliki pengetahuan dalam pentadbiran kerana beliau merupakan salah seorang ahli keluarga kerabat pemerintah di Riau.  Mungkin kerana minat beliau untuk mendalami susur galur keturunan beliau, beliau telah menulis sebuah karya berjudul Kitab Salasilah Melayu dan Bugis Lama dan Sekelian Raja-rajanya pada tahun 1282 H.  Kitab ini juga ditulis sebagai panduan generasi akan datang yang berminat untuk mengetahui dan mengkaji salasilah masyarakat Bugis. Menerusi karya ini, dapat dilihat bahawa beliau telah memasukkan unsur syair serta pantun untuk menjadikan penulisan beliau lebih menarik.
            Sebuah lagi karya beliau ialah Tuhfat al-Nafis yang merupakan karya yang terbaik pernah dihasilkan dan  mengandungi sejarah raja-raja Melayu dan Bugis.  Kitab ini merpuakan kitab sejarah dan melalui kitab inilah Raja Ali Haji menulis dengan peranan beliau sebagai sejarawan tanpa memasukkan unsur atau bidang lain seperti bidang bahasa, kesusasteraan mahu pun bidang keagamaan sebagai fokus utama.  Beliau menulis Tuhfat al-Nafis ini berdasarkan pengalaman serta kejadian yang pernah dilihat sendiri di sekelilingnya.Kisahnya ketika kecil seperti mengikut bapanya mengembara turut tercatat dalam karya paling besar yang dihasilkan oleh beliau ini.
4.0       Karya Raja Ali Haji
Seperti yang kita sedia maklum, raja ali haji menulis banyak karya dalam pelbagai bidang.  Hal ini demikian kerana beliau memiliki kepakaran dan kemahiran dalam pelbagai bidang.Beliau telah menghasilkan banyak syair, kitab bahasa, kesusasteraan dan kitab berkenaan salasilah keturunan beliau sendiri.
4.1       Puisi-puisi Raja Ali Haji
Raja Ali Haji telah mengarang banyak puisi dan semua puisi ini ditulis berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian terhadap keadaan sekeliling.  Antara puisi hasil tulisan beliau ialah Inilah Ikat-ikatan Dua Belas Puji, Gurindam Dua Belas, Syair Hukum Faraid, Syair Suluh Pegawai, Syair Gemala Mastika Alam, Syair Nasihat (Thamarat al-Muhimmah), Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mestika Alam dan Syair Sultan Abdul Muluk.  Kebanyakan puisi berbentuk syair yang telah dikarang oleh beliau memiliki unsur pengajaran yang sangat sesuai dijadikan panduan oleh masyarakat pada zaman beliau dan generasi akan datang.
            4.1.1    Gurindam Dua Belas
Puisi ini merupakan puisi beliau yang sangat terkenal dan masa ini ia digunakan sebagai salah satu antologi puisi yang terkandung dalam  Antologi Puisi dan Cerpen Harga Remaja yang menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar tingkatan empat.  Hal ini demikian kerana, bait-bait puisi ini sarat dengan unsur nasihat yang sangat berguna kepada masyarakat.  Gurindam ini diberi namaGurindam Dua Belas kerana ia mengandungi dua belas fasal dan juga dua belas rangkap yang mana setiap satu fasal terkandung dalam satu rangkap gurindam. 
            Sebelum memulakan penulisan puisi ini, beliau terlebih dahulu menulis serba sedikit berkenaan puisi seperti kata aluan yang mengandungi tarikh gurindam ditulis, pengarang serta kebaikan yang boleh diperoleh daripada gurindam ini iaitu:
“Amma ba’du daripada itu, maka tatkala sampai Hijratu’l-Nabi 1263, sanat, kepada dua puluh hari tiga, bulan Rajab hari Selasa maka diilhamkan Allah Taala kepada kita iaitu Raja Ali Haji, mengarang satu gurindam cara Melayu iaitu yang boleh juga jadi diambil faedah sedikit-sedikit daripada perkataannya itu pada orang yang ada menaruh akal, maka adalah banyaknya gurindam itu dua belas fasal di dalamnya”
                                       (Drs. Shalleh Saidi, 1969)
Berdasarkan kepada pernyatan di atas, didapati bahawa gurindam ini telah ditulis pada 23 Rejab 1263 H iaitu pada hari Selasa dan telah dikarang oleh Raja Ali Haji.  Menurut pernyataan di atas lagi, gurindam ini mengandungi 12 fasal.Melalui gurindam ini, beliau memberikan definisi perkataan ‘gurindam’ adalah berbeza dengan syair kerana syair tidak memiliki jawapan, sebaliknya gurindam terdiri daripada soalan dan jawapan.Seperti yang diterangkan, baris kedua gurindam ialah jawapan, manakala baris pertama pula merupakan soalan kepada jawapan tersebut.
            Setiap puisi terdiri daripada beberapa ciri yang tersendiri.Begitu juga dengan gurindam ini.Gurindam Dua Belas terdiri daripada rima akhir aa dan setiap rangkap hanya terdiri daripada dua baris sahaja.  Daripada aspek bilangan perkataan pula, setiap baris dalam gurindam ini hanya terdiri daripada dua hingga enam perkataan dan dalam gurindam ini juga banyak mengandungi perkataan bahasa Arab seperti perkataan ‘makrifat’.Selain itu, beliau juga menulis gurindam ini seolah-olah pembaca memahami perkara yang ingin disampaikan.Sebagai contoh, beliau menulis, “Barang siapa mengenal yang empat” tetapi beliau tidak memberikan penerangan berkenaan empat perkara yang hendak disebutkan itu.
            Nasihat yang ingin disampaikan melalui gurindam ini ialah berkenaan hal-hal keagamaan.Keseluruhan fasal yang terkandung dalam gurindam ini menasihati masyarakat agar taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.Sebagai contoh, melalui fasal 1.1, Raja Ali Haji menerangkan bahawa individu yang sangat taat dan patuh kepada agama dianggap berjaya dalam kehidupan di dunia berbanding manusia yang tidak taat.Fasal 2.2 pula membicarakan berkenaan rukun Islam yang pertama iaitu berkenaan solat.Seperti yang kita sedia maklum, solat merupakan tiang kepada agama Islam.  Oleh hal yang demikian, dalam gurindam ini, beliau menyatakan bahawa individu yang meninggalkan solat sama seperti rumah yang tidak bertiang.  Selain isu keagamaan, gurindam ini juga mengandungi nasihat yang meminta agar setiap individu memelihara tingkah laku agar berkelakuan senonoh dan ada juga nasihat beliau yang mempunyai kaitan dengan pergaulan dalam kehidupan bermasyarakat iaitu pada fasal keenam dan ketujuh.
4.1.2    Syair Suluh Pegawai
Pada zaman dahulu, syair ini tidak mempunyai nama, namun ia masih terkenal dalam kalangan sarjana Barat.  Hal ini demikian kerana mereka mengenali syair ini dengan nama lain iaitu Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab al-Nikah.  Syair ini disimpan di Perpustakaan Universiti Leiden dan ia bertarikh 1307 Hijrah bersamaan 1899 Masihi.  Nama Syair Suluh Pegawai ini telah wujud akibat penemuan teks ini bersama-sama Syair Siti Sianah dan satu naskah lagi dalam bentuk bercetak dan telah dicetak oleh Matba’ah al-Ahmadiah, Singapura bertarikh 17 Rabiul Awal 1342 Hijrah.Naskah yang dicetak pada 1342 Hijrah merupakan teks Syair Suluh Pegawai naskah Pulau Penyengat.
            Naskah Syair Suluh Pegawai yang bernama Syair Hukum Nikah pada awalnya mengandungi dua bahagian.  Bahagian yang pertama bermula daripada halaman satu hingga halaman 12 dan ia mengandungi 81 rangkap. Bahagian pertama ini adalah berkenaan dengan harta pusaka dan dinamakan sebagai Syair Hukum Faraid.  Usai penulisan rangkap terakhir bagi Syair Hukum Faraid, terus sahaja karya ini dimulakan dengan frasa ‘Fasal yang Pertama’ dan ini membawa maksud pengarang sudah memulakan penulisan Syair Hukum Nikah.Teks Syair Suluh Pegawai naskah Pulau Penyengat pula didahului dengan tiga rangkap syair sebagai pengenalan.  Perkara ini berbeza dengan versi Syair Hukum Nikah yang mana ia memiliki pengenalan yang sangat pendek kerana ia sudah ada pengenalan pada bahagian harta pusaka.Syair ini terdiri daripada dua bahagian perbincangan iaitu mengenai hukum syariah dan tasawuf.
            Syair Suluh Pegawai dalam Syair Hukum Nikah menceritakan soal perkahwinan merangkumi aspek hukum melihat perempuan, syarat saksi, saudara susuan, walimatul urus, Qismah dan Nusyuz, talak, idah dan memelihara anak.Antara perkara yang dibincangkan dalam syair ini ialah ciri-ciri perempuan yang boleh dijadikan isteri, syarat memandang perempuan, perkara yang diharamkan nikah, larangan meminang tunangan orang dan syarat harus berkahwin.Syair ini terdiri daripada 13 fasal.  Fasal pertama berkenaan rukun nikah, fasal kedua berkenaan kufu, fasal ketiga mengenai mas kahwin, fasal keempat mengenai walimah, fasal kelima berkenaan Qismah dan Nusyuz, fasal keenam adalah berkenaan tanda-tanda derhaka, fasal ketujuh berkenaan tebus talak, fasal kelapan mengenai bilangan talak, fasal kesembilan berkenaan idah, fasal kesepuluh berkenaan istibra’, fasal kesebelas berkenaan rida’, fasal kedua belas mengenai nafkah dan fasal yang terakhir adalah mengenai al-Hadanah iaitu hak penjagaan anak. 
4.1.3    Syair Siti Sianah
Syair Siti Sianah terdiri daripada dua versi yang berbeza iaitu ia ditampilkan dalam versi nashkah dan versi yang bercetak.  Versi naskah ini merupakan versi Syair Siti Sianah yang digabungkan dengan Syair Suluh Pegawai yang mana ia ditulis bermula pada halaman satu hingga halaman 70.  Sebelum memulakan penulisan isi syair, Raja Ali Haji telah memulakannya dengan pendahuluan yang terdiri daripada sembilan rangkap dan ditulis dengan menggunakan bahasa Arab.Hal ini demikian kerana Raja Ali Haji mahir dalam beberapa bahasa dan salah satunya ialah bahasa Arab.Seperti yang kita ketahui, Syair Suluh Pegawai ini adalah nasihat kepada kaum lelaki, manakala Syair Siti Sianah ini pula merupakan nasihat yang diberikan oleh raja Ali Haji kepada kaum wanita.Setiap kaum wanita masa dahulu dan sekarang digalakkan untuk memahami syair ini untuk mendapatkan iktibar dan seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.Perkara ini penting agar kaum wanita menjaga maruah dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
            Syair ini terdiri daripada 574 rangkap yang mana setiap rangkap terdiri daripada empat baris dan setiap baris terdiri daripada kira-kira empat hingga enam perkataan.Syair Siti Sianah ini dibahagikan mengikut perkara yang ingin dibincangkan dalam setiap rangkap syair.  Oleh hal yang demikian, setiap rangkap syair yang memiliki perkara yang sama ingin diceritakan akan dikumpulkan dalam tajuk kecil.  Dalam syair ini terdiri daripada 64 tajuk kecil dan antara tajuk kecil dalam syair ini ialah Perkataan Rawi, Kenyataan Bersuci, Fasal Sembahyang Berjemaah, Muafakat kerana Menuntut Ilmu dan Makna Riak.  Penulisan syair ini mencampurkan penggunan bahasa Melayu dan bahasa Arab, tetapi bahasa Arab yang digunakan adalah sedikit.Antara perkataan bahasa Arab yang digunakan ialah adabu’l yang membawa maksud adat dan al-Walidi yang bermaksud bapa.
4.1.4    Syair Sinar Gemala Mastika Alam
Syair ini merupakan syair terjemahan yang telah diterjemah oleh Raja Ali Haji daripada sebuah buku bahasa Arab yang tidak diketahui tajuknya.Syair ini terdiri daripada dua jenis iaitu dalam bentuk naskah dan bercetak, namun, yang telah disediakan dalam bentuk naskah ini tidak ditemui.Teks Syair Sinar Gemala Mastika Alam dalam bentuk bercetak telah dicetak oleh Mathba’atu-l-Riauwiyah, Pulau Penyengat pada 1311 Hijrah.  Syair yang memiliki tajuk yang sangat indah ini mengandungi 111 rangkap dan ia merupakan syair yang berbentuk fiksyen seperti Syair Dandan Setia dan Syair Bidasari.  Perkataan gemala dan mastika yang terdapat dalam judul syair ini merujuk kepada sesuatu yang akan menerangi dunia dan dalam konteks syair ini, gemala yang dimaksudkan oleh pengarang ialah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam usaha membangunkan serta menegakkan agama Islam.  Syair ini adalah syair yang menceritakan riwayat hidup serta biografi baginda S.A.W yang disanjung oleh masyarakat.
Syair ini terdiri daripada 19 rangkap yang merupakan mukadimah atau pengenalan kepada syair, fasal pertama dan kedua yang terdiri daripada 12 rangkap syair yang menceritakan berkenaan kejadian yang berlaku ketika kelahiran baginda, fasal ketiga yang terdiri daripada enam rangkap syair pula menceritakan pengalaman Rasulullah ketika masih kanak-kanak, fasal keempat menceritakan kisah Nabi ketika berusia 12 tahun dan berada bawah jagaan bapa saudaranya, fasal kelima pula menceritakan pengalaman Nabi berniaga dan perkahwinan Baginda dengan Siti Khadijah, fasal keenam adalah berkenaan perlantikan Nabi sebagai Rasul apabila baginda telah menerima wahyu, fasal ketujuh pula menceritakan kisah Nabi yang membawa seruan agama dan fasal yang terakhir adalah berkenaan perjuangan Nabi mengembangkan agama Islam walaupun telah ditentang oleh pelbagai pihak.
4.1.5    Syair Sultan Abdul Muluk
Syair Sultan Abdul Muluk ini diterbitkan dalam tujuh edisi yang mana empat daripadanya adalah teks berbentuk naskah, manakala tiga yang lainya adalah teks berbentuk cetakan.Teks-teks ini telah diterbitkan pada tahun yang berlainan dan diterbitkan oleh penerbit yang berbeza.  Suatu perkara yang unik berkenaan teks ini ialah kesemua teks tidak dituliskan nama pengarangnya kecuali teks yang telah diterbitkan oleh Roorda van Eysinga.  Telah dikatakan bahwa syair ini bukan hasil tulisan Raja Ali Haji, sebaliknya telah ditulis oleh adiknya, Zaleha pada tahun 1262 Hijrah, namum P. Roodra van Eysinga telah mendakwa bahawa Raja Ali Haji merupakan pengarang Syair ini.  Hal ini demikian kerana, ada yang menyatakan bahawa kedua-dua individu ini telah hidup pada zaman yang sama dan sering berutus surat.  Dalam surat kedua Raja Ali Haji kepada van Eysinga menyatakan bahawa beliau telah mengirimkan syair yang telah diubahsuai daripada prosa Hikayat Sultan Abdul Muluk. 
            Syair ini adalah syair yang berbentuk fiksyen iaitu berbentuk ilmiah dan latar belakang di dalam syair ini adalah di beberapa tempat seperti di Barbari, Ban dan Hindustan.Antara pengajaran dan nasihat yang diperoleh melalui Syair Sultan Abdul Muluk ini ialah kegigihan seorang wanita yang membela kesusahan yang dialami oleh suaminya sendiri.
4.2       Kitab Bahasa Raja Ali Haji
Selain daripada puisi-puisi yang terdiri daripada pelbagai syair, Raja Ali Haji turut menyediakan karya dalam bidang bahasa dan pelbagai bidang lain.  Beliau memiliki pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang sehingga beliau terdorong untuk menghasilkan kitab berkenaan bidang bahasa.
            4.2.1    Bustanul-Katibin Lisubyanil-Muta’alimin
Kitab Bustanul-Katibin Lisubyanil-Muta’alimin merupakan kitab yang ditulis dalam bentuk cap batu pada 20 Syaaban 1237 Hijrah bersamaan 15 April 1857 di Pulau Penyengat.  Kitab ini telah ditulis atas cadangan oleh Yamtuan Muda Raja Ali yang pada ketika itu menuntut ilmu dengan Raja Ali Haji.  Judul kitab ini bermaksud Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntutut Belajar akan Dia.  Kitab ini terdiri daripada pendahuluan, 31 fasal dan ia dibahagi kepada dua dan penutup. Ia diterbitkan dengan ketebalan 70 muka surat.  31 fasal yang terkandung dalam kitab ini telah dibahagikan kepada dua iaitu satunya ia berkenaan penulisan bahasa Melayu dan yang keduanya adalah tentang nahu bahasa Arab yang telah disesuaikan dengan bahasa Melayu.
            Kitab ini adalah kitab yang mengandungi pelajaraan ejaan dan tatabahasa yang sesuai dijadikan rujukan oleh kanak-kanak dan ia juga mengajarkan cara untuk menterjemah huruf Arab ke dalam bahasa Melayu.  Pada bahagian pertama kitab ini, ia hanya menerangkan berkenaan ejaan dan tatabahasa, manakala pada bahagian kedua pengarang berusaha untuk menyesuaikan sistem bahasa Melayu dengan nahu bahasa Arab tetapi usaha beliau agak kurang berhasil kerana dikatakan bahawa ayat yang terkandung dalam bab dua tersebut adalah ayat-ayat Arab yang telah menggunakan perkataan Melayu.  Pada 19 April 1896, von de Wall yang merupakan rakan kepada Raja Ali Haji telah membuat ulasan berkenan kitab ini dan menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan penulisan Raja Ali Haji di dalam kitab tersebut.
4.2.2    Kitab Pengetahuan Bahasa
Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan sebuah lagi kita yang dianggap popular berbanding karya Raja Ali Haji yang lain.  Kitab ini telah disusun pada tahun 1858 dan telah dicetak pada tahun 1929 di Singapura.  Kitab ini merupakan sebuah kamus yang lebih sesuai dikatakan sebagai ensilklopedia yang dalamnya terdiri daripada pengetahuan, pendapat dan pandangan pengarang berkenaan perkataan yang terkandung dalam kitab ini.   Seperti yang kita sedia maklum, perkataan yang terkandung dalam kamus masa ini telah disusun mengikut abjad agar dapat memudahkan pencarian perkataan beserta makna, namun, perkara sebaliknya berlaku dalam Kitab Pengetahuan Bahasa kerana ia tidak disusun mengikut abjad.  Kitab yang telah disusun oleh Raja Ali Haji ini tidak sempat disiapkan dan hanya siap disusun sehingga huruf ‘cha’ sahaja.
            Melalui kitab ini, Raja Ali Haji menyatakan bahawa orang melayu yang menggunakan perkataan ‘bilang’ bagi menggantikan perkataan ‘kata’ dan ‘kasi’ menggantikan perkatan ‘beri’ telah dikatakan telah merosakkan bahasa sendiri.  Selain itu, beliau turut menuliskan bahawa orang Melayu yang menghisap cerutu iaitu rokok daun yang dibalut dengan tembakau dan jalan beriringan dengan orang Eropah.  Hal ini demikian kerana, menurut beliau kebudayaan Barat dianggap tidak bersesuaian dengan kebudayaan dan gaya hidup masyarakat Melayu.


           
                                                                       
           


           
5.0       KESIMPULAN
Raja Ali Haji boleh dikatakan sebagai seorang tokoh karya agung yang telah banyak berjasa kepada dunia penulisan.Beliau telah menulis banyak karya dalam pelbagai bidang seperti bidang keagamaan, kesusasteraan, bahasa, Sejarah dan ketatanegaraan.Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang ini adalah akibat daripada usaha beliau yang belajar tanpa rasa jemu sejak kanak-kanak lagi.Perkara ini ditambah lagi dengan pengalaman yang diperoleh ketika beliau mengikut bapanya, Raja Ahmad mengembara ke pelbagai tempat.
            Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang menjadikan beliau lebih kreatif dan bijak menghasilkan pelbagai karya dalam pelbagai bidang.Namun demikian, beliau lebih banyak mengarang syair yang dikarang hasil daripada pemerhatian fenomena yang berlaku di sekelilingnya.Beliau tidak seperti pengarang sebelumnya yang hanya menghasilkan karya-karya berbentuk mitos.Antara alasan beliau menghasilkan karya berdasarkan kepada pemerhatian sekeliling kerana beliau mahu masyarakat mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah benar yang telah dihasilkan.
            Kesimpulannya, karya yang telah dihasilkan oleh beliau berasaskan kepada ilmu pengetahuan yang diperoleh sejak kecil sangat sesuai dijadikan panduan dan iktibar oleh masyarakat masa ini dalam menjalani kehidupan seharian.  Diharapkan agar semua karya Raja Ali Haji yang bagus ini dipelihara dan boleh dijadikan bahan rujukan kepada generasi akan datang.


No comments:

Post a Comment