Tuesday, May 28, 2013

KEINDAHAN RETORIK MELAYU KLASIK DALAM TUHFAT AL - NAFIS KARANGAN RAJA ALI HAJI

Disediakan oleh: MUHAMED ISA AHMAD

ABSTRAK

Sedikit yang diketahui tentang siapa yang mencipta, mengarang dan menyalin teks Melayu sebelum 1900. Penulis Tuhfat al-Nafis, Raja Ali Haji, adalah pengarang Melayu yang pertama kita tahu lebih sedikit mengenainya, melalui penerbitan surat-menyurat peribadi beliau dengan sarjana yang lahir di Jerman yang terkenal, Von de Wall, antara 1855 hingga 1870. Surat-surat itu membolehkan kita membina gambaran Raja Ali Haji sebagai seorang individu yang terseksa kerana pelbagai masalah dan isu ketika itu. Gambaran itu membolehkan kita memahami dengan lebih baik tulisannya.

ABSTRACT

Little is known of those who created, wrote and copied texts in Malay before 1900. The famous author of Tuhfat al-Nafis, Raja Ali Haji, is one of the first Malay writers who we know more about, thanks to the publications of what is left of his personal correspondence with the German born scholar, Von de Wall between 1855 to 1870. The letters make us possible to construct a picture of Raja Ali Haji as an individual, a worried man tormented by many problems and issues of his day. This picture could help us to develop a better understanding of his writings.

PENGENALAN
Nama sebenar Raja Ali Haji adalah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad al-hajj ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau. Beliau dilahirkan pada tahun 1808M di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat Indera Sakti, Kepulauan Riau, Indonesia. Raja Ali Haji meninggal dunia di Pulau Penyengat, Riau pada sekitar tahun 1873M berdasarkan bukti bahawa pada 31 disember 1872M beliau pernah menulis surat kepada sahabat karibnya yang juga merupakan sarjana Belanda iaitu Hermann von de Wall. Hermann von de Wall dikatakan meninggal di Tanjung Pinang pada tahun 1873M iaitu pada tahun yang sama dengan Raja Ali Haji.
Raja Ali Haji merupakan seorang penulis. Antara buku tulisannya seperti Kitab Pengetahuan Bahasa yang merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau Lingga penggalan pertama juga disebut merupakan kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Beliau turut menulis syair dan diantara syair yang terkenal seperti Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah, serta Syair Sultan Abdul Muluk. Nama Raja Ali Haji begitu dikenali kerana penulisannya tentang sejarah Melayu. Bukunya yang berjudul Tuhfat al-Nafis ("Bingkisan Berharga" tentang sejarah Melayu), walaupun sangat lemah dari segi penulisan sejarah kerana tidak memberikan sebarang sumber dan tahunnya tetapi dapat dianggap sebagai suatu penggambaran peristiwa-peristiwa Melayu bersejarah yang lengkap. Buku Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada  3 Syaaban 1282H/1865M  dikatakan sebagai kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis. Buku Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau dikalahkan oleh Belanda. Buku ini secara terperincinya menguraikan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya kitab itu (1282H/1865M). Buku Tuhfat al-Nafis dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji putera Upu Daeng Celak sehingga beliau mangkat menemui syahidnya di Teluk Ketapan, Melaka. Bagaimanapun, terdapat pendapat yang mengatakan bahawa buku Tuhfat al-Nafis bukan karangan Raja Ali Haji tetapi karangan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu dan Raja Ali Haji hanya menyelesaikan kerja ayahnya itu. Walaupun terdapat percanggahan pendapat mengenai siapa penulis sebenar buku Tuhfat al-Nafis ini namun buku ini merupakan satu karya yang agung kepada alam Melayu.
KONSEP RETORIK
Retorik ialah seni penulisan atau pengucapan yang berkesan iaitu seni yang memberikan tumpuan kepada gaya, strategi, bahan, dan khalayak. Selain itu, retorik juga merupakan seni atau kepandaian komunikasi yang efektif. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), retorik bermaksud teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Justeru, ragam bahasa yang pelbagai diperlukan sebagai cara untuk mempengaruhi pendengar atau pembaca. Menurut Lanham (1991), retorik merupakan seni dalam mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana bahasa. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Raminah Sabran (2002), iaitu retorik ialah seni penulisan. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea dan saranan atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh. Menurut Asmah (1998), retorik bermakna kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan. Berdasarkan konteks yang sesuai, retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan menggunakan bahasa secara berkesan, atau juga ciri-ciri yang berkesan dalam bahasa. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea, dan saranan, atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya, atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh.
Beberapa jenis retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Antara jenis tersebut, retorik pendedahan atau eksposisi merupakan retorik paling umum digunakan dalam penulisan, malah dianggap retorik paling asas. Retorik jenis ini digunakan dalam membuat pendedahan sesuatu isu, konsep, pandangan, proses dan sejarah sesuatu dengan menggunakan teknik sama ada deduktif, induktif atau analogi. Secara lebih mendalam, retorik pendedahan merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Malah dalam mengaplikasi retorik jenis-jenis lain sama ada jenis naratif, deskriptif, penghujahan, atau pemujukan, unsur retorik pendedahan turut digunakan sebagai penerapan. Retorik pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan penulis. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting. Diksi yang tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Stott dan Avery (2001) yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang baik memerlukan gaya yang berkesan. Gaya merupakan perkataan yang digunakan untuk menjelaskan cara penutur atau penulis melahirkan idea atau perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar atau pembaca. Dalam kajian tersebut, antara aspek yang diteliti ialah aspek pemilihan kata, struktur ayat dan susunan kata, penggunaan bahasa kiasan seperti metafora dan simile, dan penggunaan unsur-unsur retorik.
BAHASA MELAYU KLASIK
Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai. Perkataan klasik juga turut diberikan beberapa definisi oleh pengkaji bahasa. Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik pula menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik di buat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Pembahagian ini dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.
               Permulaan zaman bahasa Melayu klasik adalah pada abad ke -13 apabila pengaruh agama Islam menjadi makin dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya bahasa Arab. Zaman ini memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang menggunakan huruf-huruf Arab. Menurut Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan apabila di seluruh kepulauan Melayu setelah kedatangan agama Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan Marco Polo tentang pengislaman Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat Sumatera Utara. Selain itu, permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam. Perkembangan bahasa Melayu klasik pula bermula dengan kedatangan pengaruh agama Islam dan bahasa Arab yang telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan wujudnya sistem tulisan, iaitu tulisan Jawi. Daripada wujudnya sistem tulisan ini maka terhasillah karya-karya yang besar dan agung daripada tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Bahasa Melayu klasik, mempunyai beberapa  ciri-ciri bahasa. Antara ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. Ayat yang digunakan kebanyakannya ialah ayat pasif dan songsang. Selain itu dalam bahasa Melayu klasik terdapat penggunaan kata pangkal ayat yang agak meluas contohnya seperti "syahadan", "maka", "alkisah", "hatta", "arakian", "kata sahibul hikayat", "maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Bahasa Melayu klasik juga terdapat gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat berikut “Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik”.
Dalam bahasa Melayu klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, “Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim ……”.
Selain itu, dalam bahasa Melayu klasik juga banyak menggunakan partikel “pun”dan “lah”. Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti “adapun, bertitahlah, dan berebutlah”. Manakala contoh penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut;
 “ Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya”.            Sehubungan itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa Melayu klasik kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit bertapak kukuh lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Contoh penggunaan bahasa Arab ialah “Allah Taala, makhdum, mualim daulat, wallahualam, takzim. Bagi bahasa Sanskrit pula ialah “dosa, pahala, dan raja” . Bahasa Melayu Klasik juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’, dan ‘sy’. Contoh perkataan seperti “khamis, zakat, syarat”. Bahasa Melayu Klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan. Ketika itu juga banyak menggunakan laras bahasa istana.
            Ringkasnya kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi.


TUHFAT AL-NAFIS
Tuhfat al-Nafis pula merupakan sebuah hasil sejarah Melayu yang penting. Karya sejarah ini memperlihatkan betapa besarnya Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat peristiwa zamannya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, kandungannya memperkatakan hal-hal yang berlaku sebelum zamannya yang merangkumi lapan puluh peratus daripada kandungannya. Sementara bahagian kedua, memperkatakan sejarah semasa yang ditulis berlaku ketika hayatnya. Ini dapat diperjelaskan dengan melihat peristiwa atau episod-episod tertentu yang diperihalkan oleh pengarang  dalam teks ini. Antaranya adalah seperti berikut :
a) Perihal Raja Kecil dan Opu Bugis Lima bersaudara.
Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti bagaimana Raja Ali Haji dalam mengarang teks ini. Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada 3 Syaaban 1282H/1865M  dikatakan sebagai kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis ini dapat dibuktikan dengan caranya mengungkapkan hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu Bugis Lima Bersaudara. Ini dapat di teliti melalui bahagian-bahagian yang diperihalkan oleh raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:
“Adalah Encik Pong itu dipakai memang oleh baginda itu, telah bunting memeng, konon. Waktu baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda itu. Maka encik Pong dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawanya ke Pagar Ruyung, kepada puteri Janilan, lalu encik Pong beranak disitu, iaitu laki-laki….”(edisi 1965, hlm. 13)

Laki-laki yang dimaksudkan disitu adalah perihal kelahiran Raja Kecil. Dalam masa yang sama beliau memerihalkan latar belakang Upu-upu Bugis Lima Bersaudara. Keadaan ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi gambaran kepada para pembaca bahawa Upu-upu Bugis merupakan daripada keturunan kaum Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal Upu-upu Bugis terdapat banyak dalam Tuhfat al-Nafis, contohnya:
“Adalah puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Upu Daeng Celak yang tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya…”(edisi 1965, hlm. 15)
b) Peristiwa Perjanjian Antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau
            Dalam menceritakan peristiwa berkenaan perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau, Raja Ali Haji juga telah memerihalkan peristiwa tersebut. Raja Ali Haji mengatakan (berdasarkan teks), Raja Kecil telah berjumpa dengan Upu-upu Bugis Lima bersaudara untuk melanggar Johor. Akan tetapi, pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut kerana pada fikiran mereka, itu adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja. Justeru itu, Raja Ali Haji mengungkapkan dalam teks ini :



“Syahdan di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka Opu-opu Bugis yang berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada mengembara. Maka berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun mengajaklah ia melanggar negeri Johor…Maka tiada ia mahu. Maka didalihkannya hendak ke Langat dahulu, mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka tiadalah jadi Bantu membantu itu.”(edisi 1965, hlm. 16)
C) Bantuan Bugis Kepada Johor-Riau Untuk Mengalahkan Raja Kecil.
            Di dalam episod ini, Raja Ali Haji telah menyebut kisah bantuan Bugis kepada Johor-Riau dan perjanjian selepasnya. Perjanjian ini sebenarnya adalah perjanjian yang dibuat atas permintaan Opu Bugis tersebut. Dengan melihat petikan, Raja Ali Haji memberi satu gambaran terhadap Opu-opu Bugis Lima Bersaudara berhubung bagaimana kedatangan mereka ke Johor khasnya dan Tanah Melayu, umumnya. Maka berkatalah ia Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis :
“Maka Menjawablah Opu Dahing Parani, ‘ seperti saya semua adik-beradik sama saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini.’Maka menjawab pula Opu Dahing Menambu, ‘saya ini tiada sanggup menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat ini. Kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Mantan akan memelihara akan negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati mertua saya itu.’ Maka menjawablah dahing Celak , ‘saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mahu menjadi Yag Dipertua Muda.’ Maka menjawablah Opu Dahing Kemasi , ‘adapun saya ini tada berhajat manjadi Yang dipertua Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahan  jikalau seperti di Manatan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang sayalah .’ Menjawab pula Kelana Jaya Putera, ‘Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara-saudara saya, tiada saya mau menjawab Yang Dipertua Muda di tanah barat ini.’ Demikianlah kata sekalian Opu-opu Bugis itu.”(edisi 1965. hlm. 83)     
d) Yam Tuan Muda Johor membunuh Seluruh Keluarganya.
            Raja Ali Haji telah menceritakan peristiwa Yam Tuan Muda membunuh seluruh keluarganya. Beliau memerihalkan episod ini  dalam Tuhfat al-Nafis, seperti berikut:
“….Maka Raja Muda pun mengamuk pula, kerana fikirnya daripada isterinya diambil Minangkabau, diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali. Kemudian Yam Tuan Muda itu mengamuk menyerbukan diri…(edisi 1965, hlm. 43)
e) Raja Kecil Memperolehi semula Isterinya, Tengku Kamariah.
            Manakala dalam episod ini, Raja Ali Haji menceritakan peristiwa bagaimana keingkaran Raja Kecil terhadap perjanjian yang dibuatnya dengan Sultan Sulaiman. Maka berkata Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis selepas peristiwa Raja Kecil mengingkari perjanjian tersebut:
“Maka raja Kecil pun …sudah berubah akalnya… maka apabila Sudah hilang Tengku Kamariah itu, maka Raja Kecil pun selalunya gila sekali, lalu ia tidur di kubur isterinya …Maka Raja Kecil pun jatuhlah sakit sangat di dalam gilanya itu, Maka tiada berapa lamanya mangkatlah, innalilahi wa inna ilahi rajiun” (edisi 1965, hlm. 92-93)

Kemangkatan Raja Kecil setelah jatuh sakit dikatakan sebagai kembali memperolehi isterinya Tengku Kamariah.
f) Peperangan Antara Minagkabau dengan Bugis di Kedah dan kemangkatan Daeng  Parani.
            Sementara dalam episod ini, kita dapati Raja Ali Haji telah menyatakan bahawa kemangkatan Daeng Parani bukannya dibedil oleh Raja Kecil. Sebaliknya beliau mengatakan kemangkatan Daeng Parani … “dengan takdir Allah Ta’ala serta sampai janjinya”. Raja Ali Haji dalam episod tersebut mengatakan :
“….maka dengan takdir Allah Ta’ala serta dengan sudah sampai janjinya, maka Opu Dahing Parani pun kenalah peluruh meriam tentang dadanya. Maka iapun mangkatlah…”(edisi 1965, hlm. 92)
      Justeru itu, merujuk petikan di atas, ia menunjukkan kepada kita bahawa Raja Ali Haji memberi gambaran sedemikian untuk menunjukan kehandalan Opu Bugis Lima Bersaudara yang tidak dapat dikalahkan oleh raja kecil melainkan takdir allah.




RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Beberapa jenis retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Retorik dalam Tuhfat al-Nafis akan cuba di kupas oleh penulis untuk menunjukkan bahawa keindahan retorik terdapat dalam teks Melayu klasik khususnya dan Tuhfat al-Nafis amnya. Justeru itu penulis akan memberikan beberapa contoh retorik yang ditemui dalam Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji ini. Contoh retorik yang digunakan adalah retorik pendedahan atau eksposisi. retorik pendedahan atau eksposisi merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Contoh retorik pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. Mana-mana yang perkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada berkenan diberikannya pada segala juak-juaknya. Maka cabullah negeri Melaka itu dengan hal yang demikian itu.

Maka menitahkan Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam (saudaranya) Raja Zainal itu malam-malam, pada tempat peraduannya itu. Maka telah mangkatlah Raja Zainal itu digemparkan oleh orangnya dalam negeri itu mengatakan Raja Zainal itu mangkat ditikam pencuri konon adanya. (edisi 1991. hlm. 135)
Retorik pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis ini mendedahkan akan masalah sosial dan isu politik di negeri Melaka. Kisah Raja Zainal yang menggunakan ketampanannya untuk berpoya-poya dengan perempuan di negeri Melaka. Manakala kisah Raja Mahmud yang sanggup membunuh saudaranya Raja Zainal kerana cemburukan kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya itu.
Pengarang Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis juga turut menggunakan retorik penghujahan. Retorik penghujahan ini mampu menyakinkan pembaca terhadap kewajaran sesuatu perkara dan seterusnya bersetuju dengan perkara itu. Terdapat dua ciri utama retorik ini iaitu penulisan itu mesti mengandungi gagasan atau usul dan harus disertakan dengan bukti. Contoh penggunaan retorik penghujahan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis adalah seperti berikut :
“ Kemudian telah putus(lah) musyawarah itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan Kundur) itu kepada (saudara( ((sepupunya)) Raja Abdullah, dan Pulau Kundur itu jadi ketetapan selama-lamanya kepada Raja Ali Haji berdua bersaudara dengan Raja Abdullah ((itu pada)) mengamanahkan(nya) pada meramaikannya, dan hasil(hasil)nya dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya itu. Melainkan Pulau Kundur tiada masuk bahagian yang lima itu”.(edisi 1991, hlm. 616)
Kandungan Tuhfat al-Nafis ini menjelaskan tentang ketetapan bahawa penyerahan Pulau Karimun dan Pulau Kundur kepada Raja Abdullah supaya dapat dimajukan oleh Raja Abdullah. Hasil yang kemajuan yang diperolehi akan dibahagikan kepada lima seperti mana yang telah diputuskan dalam surat perjanjian penyerahan Pulau Karimun kepada Raja Abdullah itu.
Tuhfat al-Nafis juga turut mengandungi retorik lain iaitu retorik pemerian. Retorik pemerian adalah bertujuan untuk memerihalkan sesuatu. Penulisan itu semata-mata cerminan benda atu perkara sebenar yang diperihalkan, iaitu penulisan yang memaparkan sesuatu bagaimana adanya. Retorik pemerian terbahagi kepada dua jenis iaitu bersifat saintifik dan fakta. Penulisan jenis ini berasaskan fakta sebenar yang ada pada sesuatu objek.  Jenis yang kedua pula bersifat imaginatif iaitu memberikan gambaran yang abstrak yang memerlukan audiens menggunakan daya imaginatif dan daya fikir untuk menghayatinya. Contoh yang di berikan oleh Raja Ali Haji seperti :
“ Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(edisi 1991, hlm. 279)

Retorik pemerian yang diatas adalah retorik pemerian imaginatif yang memerlukan pembaca menggunakan daya imaginatif dalam menggambarkan suasana peperangan yang berlaku di antara Selangor dan Siak. Suasana peperangan yang menggunakan senjata seperti keris, senapang dan sebagainya.
Retorik lain yang ingin diketengahkan adalah retorik pemujukan. Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri pemujukan seperti menggunakan bahasa yang manis, menarik  dan mementingkan kehalusan berbahasa serta berunsurkan aspek psikologi. Dua jenis pemujukan iaitu  pemujukan rasional ( penghujahan, penyampaian fakta, dan data adalah lengkap) dan pemujukan tidak rasional (melibatkan emosi). Contoh retorik pemujukan yang ditemui oleh penulis dalam Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Maka berkatalah Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.” (edisi 1991, hlm. 232)
Pemujukan yang di atas adalah pemujukan tidak rasional yang melibatkan emosi iaitu apabila Pengeran Dipati memujuk Gusti Jameril untuk memilih antara dua cucunya bagi dijadikan isteri buat Gusti Jameril. Gusti Jameril meminta izin untuk beliau berjumpa dengan ayahnya sebelum beliau membuat keputusan.
Begitulah retorik yang berjaya ditemui oleh penulis untuk menunjukkan bahawa penulis Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji telah berjaya memperindahkan karyanya dengan penggunaan retorik Melayu klasik yang akhirnya karya ini diangkat menjadi karya agung Melayu.

PENUTUP

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penulisan retorik Melayu klasik mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada zaman inilah pelbagai kosa kata telah diambil khususnya dari barat seperti Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris untuk diasimilasikan dengan situasi tempatan.  Ini secara tidak langsung telah menambah kosa kata termasuk juga hasil-hasil kesusasteraan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji. Raja Ali Haji meninggalkan beberapa banyak karya yang terkenal dan menjadi kajian intelektual baik peringkat alam Melayu mahupun peringkat antarabangsa, iaitu Gurindam Dua Belas, ( 1846 M ), Bustanul- Katibin Lissubyanil-Muta’alimi,(1267 H/1850 M ), Kitab Pengetahuan Bahasa (1865 M), Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M) Tuhfat al-Nafis (1865 M), Thamarat al-Muhimmat Li Jafahli al umara Wal Kubara Li Ahli al Mahkamah, Syair Nikah, Syair Gemala Mustika, Syair Abdul Muluk, Jauharat Makmunah, Syair Suluh Pegawai dan lain-lain. Faktor yang menganggap Raja Ali Haji sebagai pelopor penulisan sejarah Melayu di kalangan tokoh-tokoh sejarah tradisional yang lain ialah kerana kesedarannya dalam menulis sejarah, serta motif penulisannya adalah untuk kepentingan sejarah. Tegasnya bahasa Melayu Klasik pada masa itu berperanan sebagai bahasa “intelektual”.
           


No comments:

Post a Comment